"In The Name Of Allah, The Most Gracious, Most Merciful"
Allahumma Solli 'Ala Saiyidina Muhamad, wa'ala Aali Saiyidina Muhamad.
Assalamualaikum wbt. disini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya baca dan dapat dari seseorang untuk kebaikan bersama, moga Allah memberi Rahmat kasih sayangNya pada hamba-hambaNya yang mahu menuju ke jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai oleh Allah. boleh rujuk sini untuk karya asal, Koleksi hadis Nabi. InsyaAllah, semoga bermanfaat untuk kita bersama dalam mencapai SyurgaNya yang kekal Abadi. Biidznillah.
Original post at : http:/maisurah-mazhar.blogspot.com Fight-oh OH! (^_^)
Assalamualaikum wbt. disini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang saya baca dan dapat dari seseorang untuk kebaikan bersama, moga Allah memberi Rahmat kasih sayangNya pada hamba-hambaNya yang mahu menuju ke jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai oleh Allah. boleh rujuk sini untuk karya asal, Koleksi hadis Nabi. InsyaAllah, semoga bermanfaat untuk kita bersama dalam mencapai SyurgaNya yang kekal Abadi. Biidznillah.
PENGENALAN
Pendekatan Al-Quran Sebagai Sumber Ilmu
Al-Quran diturunkan kepada umat manusia diantaranya supaya mereka menjadikannya sebagai petunjuk, dijadikan pedoman, mendapat ketenangan, memberi ilmu pengetahuan serta pembimbing dalam tatacara kehidupan melalui peraturan perintah dan larangan dan pelbagai lagi fungsi Al-Quran.
Apa yang lebih dari itu adalah, Al-Quran menuntun manusia ke jalan keamanan, ketenteraman, keharmonian, keilmuwan serta pewujudan sebuah tamadun yang hebat dan mampu menggegar dunia. Begitulah kehebatan Al-Quran dengan kemukjizatan yang terkandung di dalamnya sehingga Allah Subhana wa Ta’ala berfirman;
Terjemahan : Surah Ar-Ra'd [13] : 31
31. Dan sekiranya ada suatu bacaan (Kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara (tentunya itu adalah Al-Quran).. (Antara terjemahan dalam tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir al-Jalalayn).
Tetapi zaman ini Al-Quran tidak lagi diambil sinar cahayanya dan ia lebih ke arah pembacaan yang tidak keruan, perhiasan dinding, pengamalan surah-surah tertentu sahaja (Yassin dan sebagainya) serta pembacaan yang memenuhi mulut tetapi kosong pada akal fikiran dan jauh dari hati.
- Ada yang membaca tanpa faham maknanya dan ada yang tidak tahu membacanya langsung;
- Ada pula yang tahu membaca dan tahu maknanya, tetapi tidak tahu memanfaatkannya dalam kehidupan (tidak memahaminya);
- Ada pula yang membaca tetapi untuk mengingkarinya;
- Ada pula yang membacanya untuk mendapatkan upah semata-mata.
Lalu jadilah Al-Quran itu sebagai pemenuh mulut sahaja dan tidak dapat melepasi kerongkong; Tidak pula dapat menggerakkan akal serta tidak pula dapat menerangkan hati dan jadilah umat Islam itu umat yang mengabaikan Al-Quran.
Orang Yang Mengabaikan Al-Quran (Mahjuuro)
Terjemahan : Surah Al-Furqaan [25] : 30
30. Berkatalah Rasul: "Ya Rabb, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran ini ‘mahjuuro’ (sesuatu yang tidak dipedulikan atau telah mengabaikan Al-Quran)."
Maksudnya : Rasulullah saw mengadu kepada Allah Ta’ala dan ditujukan kepada orang-orang musyrik kerana mereka apabila diperdengarkan Al-Quran mereka bersikap tidak acuh serta berbuat bising dan mengajak pula orang lain agar mengingkarinya (Rujuk Surah Fussilat [41] : 26 – Tafsir Ibn Katsir).
Sedikit persoalan :
(a). Adakah kita termasuk dari orang-orang yang diadu oleh Rasulullah saw kepada Allah Subhana wa Ta’ala kerana mengabaikan Al-Quran?
(b). Adakah kita menepati ciri-ciri kaum musyrik di atas? Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh diri sendiri sahaja. Ini hanyalah sebagai peringatan kepada umat Islam agar menjauhi sifat-sifat musyrikin yang membenci Al-Quran dan mengajak orang lain membencinya pula.
Antara golongan yang tidak mempedulikan Al-Quran (mahjuuro) adalah; berbuat bising apabila mendengar Al-Quran dikatakan mahjuro, tidak mengimani dan membenarkan Al-Quran dipanggil mahjuro, tidak mengamalkannya juga dipanggil mahjuro, berpaling kepada yang lain (nasihat atau pendapat orang lain mengatasi Al-Quran) adalah mahjuro dan tidak mentadabburnya juga adalah mahjuro. (Tafsir Ibnu Katsir)
Apakah Tadabbur?
Terjemahan : Surah Sod [38] : 29
29. Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka tadabbur ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran (atau memberi peringatan) kepada orang-orang yang mempunyai akal fikiran (ulul albab).
Maksudnya : Al-Quran itu penuh berkah dan di dalamnya terdapat pelbagai tatacara kehidupan yang benar dan bersumberkan dari Allah Ta’ala dan mustahil salah. Selain itu Al-Quran juga merupakan sumber ilmu yang rasional dari segi sains dan ilmu lainnya serta ketepatannya sama sekali tidak diragui. Tidak dapat mengambil pelajaran darinya kecuali mereka yang menggunakan akal fikiran. (Kefahaman dari Tafsir Ibnu Katsir)
Terjemahan : Surah Muhammad [47] : 24
24. Maka apakah mereka tidak tadabbur Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?
Maksudnya : Secara umumnya ia merupakan pertanyaan kepada manusia, iaitu tidak adakah satu pun ayat dari Al-Quran itu yang dapat menembus hati kamu? Atau, tidakkah satu pun yang kamu hayati? (Tafsir Ibnu Katsir)
Secara ringkasnya apa yang lebih penting dan dilihat dari konsep yang lebih luas tadabbur juga adalah memerhatikan, memikirkan, memahami serta menghayati atau mengkaji Al-Quran dan seterusnya mengamalkannya serta memberi kebaikan atau faedah kepada diri, masyarakat dan Islam secara umumnya.
Walaubagaimanapun untuk memahami Al-Quran dengan lebih baik adalah dengan merujuk kepada kitab tafsir Al-Quran itu sendiri dan tidak semata-mata terjemahannya sahaja, kerana kadangkala ada ayat-ayat Al-Quran yang kita tidak mampu memahaminya tanpa bantuan kitab tafsir.
Memikirkan dan Mengambil Pelajaran Dari Al-Quran
Persoalannya bagaimanakah untuk mentadabbur Al-Quran itu? Perlu diingat mentadabbur ini lebih ke arah menjadikan pengajaran dan mengambil iktibar dari ayat-ayat Al-Quran itu sendiri dan bukannya mentafsir ataupun takwil ayat-ayat Al-Quran itu. Tidak boleh sama sekali kita mentafsir Al-Quran sesuka hati kecuali merujuk kepada ahli-ahli tafsir yang pakar dan muktabar dari golongan salafussoleh beriktikad Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamaah.
Antara cara Rasulullah saw mengajar umatnya ‘apa yang perlu dibuat’ ketika membaca Al-Quran, dapat kita pelajari dalam sebuah hadis;
Dari Hudzaifah r.a, (katanya) : Nabi saw bersolat;
a). dan jika beliau membaca ayat tentang rahmat, beliau memohon rahmat.
b). Jika beliau membaca ayat tentang azab, beliau memohon agar dijauhkan.
c). Jika beliau membaca ayat yang menerangkan tentang penyucian sifat-sifat Allah, beliau bertasbih.
[1119] Sahih Ibnu Majah (Juga diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud).
Bagi orang-orang yang beriman seperti kita (bukan ahli ilmu) malah ada pula yang tidak tahu berbahasa Arab, maka tidaklah ada sesuatu yang dapat menghalang kita agar dapat memikirkan isi Al-Quran, mengambil pelajaran darinya dan seterusnya dijadikan sebagai pengajaran dan pedoman kerana Al-Quran telahpun diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.
Begitu banyak tulisan para ilmuwan, kuliah-kuliah mengenai mentadabbur Al-Quran ini tetapi risalah ini hanya mengambil sedikit sahaja darinya melalui empat cara yang mudah berdasarkan pengajaran dari hadis sahih di atas untuk mentadabburi Al-Quran, antaranya;
1. Perhati : Maksudnya melihat dengan teliti, peka atau ambil peduli.
2. Fikir : Maksudnya menggunakan akal yang bijak dalam memikirkan sesuatu.
3. Faham : Maksudnya mengetahui sesuatu itu dengan lebih mendalam.
4. Menghayati : Mengalami, merasai atau terkesan sesuatu dalam hati.
Ini bukanlah satu-satunya kaedah dalam mentadabbur Al-Quran, tetapi ini mungkinsalah satu cara yang dapat kita gunakan dalam melihat, mendengar dan membaca Al-Quran melalui perspektif yang berbeza dan seterusnya meningkatkan rasa cinta kepada Al-Quran dan Al-Sunnah lalu mewujud dan menambahkan rasa minat untuk mendalami ayat-ayat Al-Quran.
PERBINCANGAN
Bagi orang-orang yang beriman seperti kita (bukan ahli ilmu) malah ada pula yang tidak tahu berbahasa Arab, maka tidaklah ada sesuatu yang dapat menghalangnya agar dapat memikirkan isi Al-Quran, mengambil pelajaran darinya dan seterusnya dijadikan sebagai pengajaran dan pedoman kerana Al-Quran telahpun diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.
Begitu banyak tulisan para ilmuwan, kuliah-kuliah mengenai mentadabbur Al-Quran ini tetapi risalah ini hanya mengambil sedikit sahaja darinya melalui empat cara yang mudah untuk mentadabburinya.
Antara Peraturan Kaedah
Antara peraturan dalam kaedah ini adalah;
1. Tidak terkeluar dari logik akal yang sihat. Perkara ghaib tetap kekal sebagai perkara ghaib.
2. Pemikiran atau pendapat tidak terkeluar dari maksud Al-Quran itu dan tidak pula bertentangan dengan Al-Quran, Al-Sunnah serta pendapat-pendapat ahli ilmu muktabar dari kalangan salafussoleh Ahl Al-Sunnah wa Al-Jamaah.
3. Menyesuaikan keadaan dengan lafaz Al-Quran itu, bukannya memaksa atau mengubah Al-Quran supaya sesuai dengan keadaan. Maksudnya, Al-Quran itu dasar yang perlu diikuti bukan diubah-ubah mengikut kehendak diri.
Anjuran Perhati, Fikir, Faham dan Hayati Dalam Al-Quran
1. Perhati : Maksudnya melihat dengan teliti, peka atau ambil peduli.
Terjemahan : Surah As-Sajdah [32] : 27
27. Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawasanya Kami menghalau (awan yang mengandungi) air ke bumi yang tandus, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman yang daripadanya makan haiwan ternak mereka dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan?
Terjemahan : Surah Luqman [31] : 20
20. Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya zahir dan batin. Dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.
Perhati yang dimaksudkan adalah melihat sesuatu yang digambarkan atau ditulis dalam Al-Quran atau peka kepada apa yang berada sekeliling kita. Contohnya ayat-ayat di atas menyuruh kita memperhatikan awan hujan, hujan, tanah, tumbuh-tumbuhan serta apa yang ada di langit dan dibumi. Segalanya adalah kurniaan Allah Subhana wa Ta’ala.
2. Fikir : Maksudnya menggunakan akal yang bijak dalam memikirkan sesuatu.
Terjemahan : Surah Al-Jaatsiyah [45] : 13
13. Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.
Terjemahan : Surah Ar-Ruum [30] : 8
8. Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar engkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
Fikir yang dimaksudkan adalah memikirkan akan kekuasaan Allah yang berada di langit (planet-planet, perjalanannya, pengembangannya, matahari, bulan dan sebagainya (ilmu falaq, matematik dan seumpamanya)) dan di bumi (segala apa yang ada di bumi termasuk penciptaan manusia itu sendiri (anatomi)).
Segalanya yang tersebut terletak dalam kekuasaan Allah Subhana wa Ta’ala dan merupakan kurniaan rahmat yang besar kepada manusia.
3. Faham : Maksudnya mengetahui sesuatu itu dengan lebih mendalam.
Terjemahan : Surah An-Nahl [16] : 12
12. Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami (nya),
Terjemahan : Surah Al-A'raaf [7] : 179
179. Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakkan dari jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Terjemahan : Surah Al-'Ankabuut [29] : 43
43. Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.
Faham yang dimaksudkan adalah memahami dengan mendalam setelah melalui proses memerhati dan berfikir tadi. Contohnya dengan memerhatikan bintang-bintang dan hasil memikirkannya kita dapat memahami untuk mempelajari ilmu falaq dan seterusnya apa yang dapat kita amalkan didalamnya (‘menyaksikan’ betapa hebatnya alam semesta) hingga membuatkan hati bergetar kerana kebenaran dan kehebatan Al-Quran.
Bergetarnya hati dan berasa gementar tubuh apabila memahami ayat-ayat Al-Quran, maka inilah proses seterusnya yang dipanggil; menghayati.
4. Menghayati : Mengalami, merasai atau terkesan sesuatu dalam hati.
Terjemahan : Surah Al-Anfaal [8] : 2
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal.
Terjemahan : Surah At-Taubah [9] : 124
124. Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: "Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, dan mereka berasa gembira (dengan sebab turunnya surah itu).
Setelah ayat-ayat Al-Quran itu memberi kesan ke dalam hati, maka meningkatlah keimanan, terbitlah rasa cinta sepenuh hati kepada Allah Ta’ala dan Rasul-Nya (saw), bercambahlah semangat jihad dan ijtihad, terbitlah motivasi diri dengan secara semulajadi berasaskan Al-Quran, terpancarlah cahaya keimanan dari tingkahlakunya (akhlak yang baik) dan pelbagai lagi kesan positif yang diperoleh.
Ini bukanlah satu-satunya kaedah dalam mentadabbur Al-Quran, tetapi ini mungkinsalah satu cara yang dapat kita gunakan dalam melihat Al-Quran melalui perspektif yang berbeza dan seterusnya meningkatkan rasa cinta kepada Al-Quran dan bertambah minat dalam mendalami ayat-ayat didalamnya.
Melihat Dari Perspektif Berbeza
Apabila disatukan keempat-empat cara tersebut, dapatlah kita melihat Al-Quran itu dari sudut yang sedikit berbeza dari sebelum ini.
Contoh Ringkas :
Terjemahan : Surah Al-Faatihah [1] : 1-2
1. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
2. Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam.
1. Perhati : Ini adalah surah pembukaan kepada Al-Quran dan pemulanya adalah pengenalan bahawa Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan pujilah hanya kepada Allah; Rabb yang mencipta dan mengatur seluruh alam.
2. Fikir : Tidak ada sesiapa pun di muka bumi ini yang lebih pemurah dan lebih penyayang selain Allah kepada makhluknya.
3. Faham : Sekiranya Allah tidak menetapkan Diri-Nya sebagai Maha Pemurah dan Maha Penyayang dan mengaturkan alam ini (takdir) maka huru-haralah manusia dan pincanglah perjalanan planet-planet yang ada.
4. Menghayati : Segala sesuatu telah diaturkan kepada makhluknya. Jadi kepada mereka yang menolak Al-Quran dan menggantikannya dengan yang lain, sama seperti mereka menolak kurniaan Allah dan inilah orang-orang yang lebih buruk dari binatang ternakan.
Firman Allah Subhana wa Ta’ala;
Terjemahan : Surah Al-Furqaan [25] : 44
44. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakkan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).
Apakah yang lebih sesat dari binatang ternak tersebut? Ini adalah perumpamaan kepada orang yang menolak Al-Quran dan mengejek-ngejek Al-Quran kononnya tidak sesuai (sejak zaman Rasulullah saw hinggalah zaman ini).
Mereka lebih sesat dari binatang ternak dan antara binatang bukan ternakan yang disebut dalam Al-Quran adalah seperti kutu, anjing, babi, katak dan lain-lain. Inilah perumpamaan kepada mereka yang mengejek Allah dan Rasul-Nya. Ia merupakan perumpamaan yang sangat sesuai buat mereka berdasarkan tabiat binatang-binatang tersebut.
PENUTUP
Terjemahan : Surah Al-Qamar [54] : 40
40. Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
Sekiranya dalam penulisan ini terdapat sesuatu yang bertentangan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah serta pendapat-pendapat para ahli ilmu yang benar, maka tinggalkanlah penulisan ini kerana ia adalah kelemahan dan kesilapan penulis.
Sekiranya ia bertentangan dengan pendapat pembaca, maka ambillah apa yang bermanfaat tinggalkanlah apa yang tidak perlu. Ini hanyalah pemikiran dan pendapat penulis hasil dari bahan bacaan dan kefahaman dari rujukan berikut;
Rujukan :
Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Al-Jalalayn
Kitab Hadis Sahih
Al-Quran dan Psikologi [Prof. Dr. Muhammad Usman Najati]
Keagungan Al-Quran [Syeikh Mahmud bin Ahmad bin Soleh Al-Dosari]
Berinteraksi Dengan Al-Quran [Muhammad Al-Ghazali]
Ilmu Usul Al-Tafsir [Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin]
Akhlaqun Nabi S.A.W [Dr. Ahmad Abdul Aziz bin Qasim Al-Hadad]
Sejarah dan Dasar Pengajian Ilmu Al-Quran [Syeikh Muhammad Ali As-Sabuni]
Original post at : http:/maisurah-mazhar.blogspot.com Fight-oh OH! (^_^)
Comments